Monthly Archives: December 2013

Apakah autisme?

Autisme adalah suatu kecelaruan perkembangan yang membawa impak yang teruk terhadap kemampuan seseorang untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang-orang di sekelilingnya (American Psychiatric Association 1994). Kanak-kanak yang mengalami autisme mempunyai imaginasi yang terhad, hingga menyebabkan mereka mempunyai ruang lingkup minat yang juga terhaddan seringĀ  melakukan tingkah laku atau pergerakan badan
yang berulang-ulang (Wing & Gould 1979). Kejadiannya lebih kepada kanak-kanak lelaki, iaitu empat kali ganda berbanding kanak-kanak perempuan. Penyebab autisma masih tidak diketahui dan sehingga kini belum ada penawar bagi kecelaruan perkembangan ini (Center for Disease Control and Prevention, A.S. 2007).
Kajian-kajian terkini tentang autisme melaporkan peningkatan dari segi prevalens autisme (Croen et al. 2002; Volkmar et al. 1997). Pada awal tahun 70-an, prevalensnya adalah tiga atau empat orang penghidap autisme bagi setiap 10,000 orang kanak-kanak, tetapi laporan statistik yang terkini menyatakan bahawa prevalens autisme bagi tahun 2009 ialah satu dalam 95 orang kanak-kanak (Center for Disease Control and Prevention, A.S. 2009).

Kajian oleh Ganz (2006) menyatakan bahawa kos perbelanjaan
seumur hidup bagi seorang penghidap autism ialah USD 3.2 juta. Jumlah penghidap autisme di Amerika Syarikat adalah 1.5 juta orang dan kos perbelanjaan seumur hidup bagi mereka di negara ini dianggarkan sebanyak USD 35 billion setahun. Walau bagaimanapun, masih tiada statistik rasmi tentang prevalens autisme di Malaysia.
Dengan meningkatnya kejadian autisme, keperluan terhadap guru-guru pendidikan khas yang terlatih turut meningkat untuk mendidik kanak-kanak yang mengalami autisme agar mereka dapat mengatasi atau mengurangkan impak negatif autisme dalam hidup mereka. Namun, menurut National Research Council, A.S. (2001), latihan guru merupakan elemen yang paling lemah dalam usaha
menyediakan perkhidmatan yang efektif untuk kanak-kanak yang mengalami autisme dan keluarga mereka. Scheuermann et al. (2003) menyatakan bahawa antara masalah utama dalam bidang autisme di Amerika Syarikat adalah kekurangan guru-guru terlatih pada tahap kronik untuk mendidik kanak-kanak autisme. Latihan guru yang
kurang mantap juga merupakan satu isu besar yang menghalang penyediaan guru yang cukup dan terlatih dalam bidang autisme (Scheuermann et al. 2003).

Bagi menyediakan pendidikan yang efektif untuk kanak-kanak yang mengalami autisme, guru-guru pendidikan khas perlu dibekalkan asas kemahiran perguruan arus perdana dan pendidikan khas termasuklah kemahiran khas dalam bidang autisme (Simpson 2004).
Antara ilmu dan kemahiran yang harus mereka kuasai adalah kefahaman tentang ciri autisme, penaksiran, diagnosis dan penilaian kanak-kanak autisme. Guru-guru yang mendidik kanak-kanak autisme perlu menguasai modul-modul autisme dan kaedah pengajaran yang merangkumi:
1. Strategi peningkatan kemahiran interaksi sosial, komunikasi dan kemahiran kendiri.
2. Strategi sokongan isu sensori.
3. Kaedah pengurusan dan akomodasi persekitaran.
4. Intervensi tingkah laku positif (Simpson 2004).
Guru untuk kanak-kanak autis juga perlu berkemahiran untuk bekerjasama dengan guru arus perdana dalam usaha menyediakan pendidikan inklusif selain bekerjasama dengan ibu bapa dan para profesional lain seperti pakar pertuturan, pakar terapi cara kerja dan lain-lain (Scheuermann et al. 2003).
Stone dan Rosenbaum (1988) yang menjalankan kajian tentang kefahaman mengenai autisme di kalangan ibu bapa dan guru-guru di Amerika Syarikat mendapati para responden mempunyai salah faham mengenai autisme. Ibu bapa dan guru-guru pula mempunyai fahaman yang berbeza yang mungkin mempunyai impak yang negatif ke atas usaha koloborasi mereka. Mavropoulou dan Padeliadu (2000)
menggunakan borang soal selidik yang dibina oleh Stone dan Rosenbaum (1988) dalam kajian mereka yang membandingkan persepsi guru arus perdana dan guru pendidikan khas di Greek tentang autisme. Keputusan kajian mereka menunjukkan bahawa kedua-dua kumpulan ini keliru tentang beberapa aspek mengenai autisme. Walau bagaimanapun, guru pendidikan khas didapati lebih cekap dalam mengenal pasti ciri autisme. Berdasarkan keputusan
kajian ini, beberapa cadangan telah diketengahkan untuk menambah baik kursus dalam perkhidmatan untuk guru arus perdana dan guru pendidikan khas di Greek supaya pengetahuan dan kemahiran mereka mengenai autisme dapat dipertingkatkan.
Schwartz dan Drager (2008) pula mengadaptasi borang soal selidik Stone dan Rosenbaum (1988) untuk mengkaji keberkesanan latihan dan tahap pengetahuan mengenai autisme di kalangan ahli terapi pertuturan di Amerika Syarikat. Keputusan kajian ini mendapati bahawa walaupun para responden mempunyai pengetahuan yang mantap tentang ciri autisme, tetapi mereka masih lagi keliru mengenai diagnosisnya. Hasil kajian juga menunjukkan bahawa ahli-ahli terapi pertuturan yang terlibat tidak menerima latihan yang mencukupi dan kurang berkeyakinan dengan kebolehan mereka untuk menyediakan perkhidmatan untuk kanak-kanak yang mengalami autisme.

Manakala di Malaysia pula, Susanna Philips (2005) mengkaji tahap pengetahuan guru arus perdana mengenai autisme dan mendapati bahawa guru arus perdana di sekolah-sekolah di Malaysia kurang berpengetahuan mengenai aspek-aspek kognitif, sosial dan emosi murid yang mengalami autisme sebanyak 84.3% daripada para
responden juga tidak dapat mengenal pasti jenis perkhidmatan sokongan atau jenis ahli profesional yang diperlukan oleh kanak-kanak ini.
Kajian ini mengadaptasi borang soal selidik Schwartz dan Drager (2008) untuk mengkaji latihan mengenai autisme yang diterima oleh guru-guru pendidikan khas di Malaysia, tahap pengetahuan mereka mengenai autisme dan tahap keyakinan mereka untuk mendidik
kanak-kanak yang mengalami autisme.